Khamis, 21 Oktober 2010

PERMUDAHKAN REZEKI ANDA

Teruja untuk menjadi cepat kaya kadangkala kita tersilap langkah dalam memilih perlaburan yang ingin kita laburkan. Perlaburan memang bagus untuk masa depan, kita dapat lihat perbezaan kewangan kita setelah kita laburkan wang ini. Laburkan di tempat-tempat yang telah diiktiraf oleh kerajaan seperti Bank Rakyat, BSN, Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji dan sebagainya supaya duit anda selamat dan juga dilindungi. Dan jangan lupa kepada Yang Esa. Dialah yang memiliki segala-gala kekayaan didunia dan diakhirat. Tanpanya kita sebenarnya adalah seorang papa kedana. (tiada daya dan upayaku melainkan Allah Yang Maha Esa). Terdapat beberapa cara yang ingin saya kongsikan bersama anda supaya amalan yang kita buat ini dapat memperlihatkan kepada kita pintu-pintu rezeki yang kadangkala tidak kita sangka-sangka dari mana datangnya.

BERISTIGFAR-Selalulah beristigfar sebanyak mana yang mungkin. Sesungguhnya orang-orang yang beristigfar akan terhapus dosa-dosa kecil lalu membuka pintu-pintu rezekinya. Apabila seorang si fakir miskin telah datang kepada Rusulullah dan meminta untuk menjadi kaya. Rusulullah lantas menyuruh si fakir ini beristigfar sebanyak yang mungkin. Dipendekkan cerita si fakir ini telah menjadi kaya raya selepas itu dan tetap beristigfar seperti mana yang disarankan oleh baginda Rusulullah.

AYAT SERIBU DINAR-Banyakkan membaca ayat seribu dinar ini disetiap masa dan anda tidak akan rugi sedikit pun, sebaliknya Allah s.w.t. akan memberi rezeki dan menjaga harta-harta anda dari di ambil atau hilang. Jika anda membaca ayat ini cubalah faham akan makna ayat seribu dinar dan pohonlah kepadanya supaya dipermudahkan rezeki sampai kepada kita.

AL-WAQIAH-Bacalah surah Al-Waqiah setiap kali lepas solat. Surah ini juga dapat meluaskan pintu-pintu rezeki yang sempit

SOLAT DUHA-Solat Duha disarankan kepada anda yang benar-benar ikhlas untuk memohon kepada Allah s.w.t supaya di bukakan pintu rezeki, dikembalikan rezeki yang telah diambil satu ketika dahulu, dipermudahkan rezeki, maka dirikanlah solah duha supaya Allah s.w.t dapat memperkenankan hajat dan doa anda.

BERSEDEKAH-Bersedekah memang amat-amat disarankan terutama jika anda ingin rezeki yang melimpah ruah. Jadi janganlah kedekut untuk bersedekah dan jangan diherdik pula orang yang meminta sedekah dari anda, berilah dengan seikhlas-ikhlas hati nercaya pemberian anda itu akan dibalas dengan berpuluh kali ganda oleh Allah s.w.t. Jika ada peminta sedekah yang meminta dari kita walaupun dia menipu, kita hanya perlu bersangka baik dan berserah pada Allah s.w.t semoga peminta sedekah itu bertaubat. Semoga dengan kita bersangka baik kepada manusia lain, nercaya Allah s.w.t juga akan melindungi kita dari sangkaan jahat manusia lain terhadap diri kita. Dalam law of attraction pun jika anda pernah baca, mereka juga menyarankan kita memberi dengan hati yang penuh dengan keikhlasan dan terbukti setiap pemberian akan dibalas dengan berkali ganda pemberian yang telah anda berikan. Mungkin dengan pedekatan sedekah ini sudah lali kepada umat Islam hari ini jadi untuk kita menarik minat kita dalam amalan bersedekah, saya sarankan anda membaca buku mengenai Law of Attraction. Mungkin disini anda lebih seronok dan lebih faham sambil menghayati apakah yang dimaksudkan dengan Law of Giving. Ada sesetengah dari kita mempunyai pemahaman yang berbeza-beza dan gemar kepada maklumat yang terkini, tidak salah mencari ilmu Allah dari mana jua sumbernya walaupun bukan dari kalangan penulis Islam. Cuma nasihat saya ambillah ilmu yang berguna yang boleh menambah kepada ilmu yang sediaada.


ZAKAT-Zakat wajib dibayar oleh mereka yang mempunyai harta benda yang berlebihan. Kerana ada hak orang lain di dalam harta-harta yang kita perolehi. Oleh itu tunaikan tanggungjawab anda untuk membayar zakat seperti zakat emas, zakat wang, zakat perniagaan, zakat penternakan. Harta-harta ini bukanlah hak mutlak kita, oleh itu dengan berzakat ia dapat membersihkan hati kita dari sifat tamak, bakhil dan semua sifat-sifat yang tercela. Mudah-mudahan kita senang menerima hidayah Allah. s.w.t. dan mempermudahkan rezeki kita.


DOA-Doalah kepadanya setiap masa jika anda mengalami kesusahan dalam kewangan. Mintalah pertolongan daripadanya dengan hati yang benar-benar ikhlas. Janganlah suka meminta-minta pada manusia kerana manusia itu sendiri tiada daya dan upaya untuk memberi pertolongan kecuali Allah s.w.t. yang membenarkan manusia itu menolong manusia lain, diatas keizinannya itu maka manusia lain akan menolong anda. Dan janganlah berputus asa jika doa, hajat dan harapan anda tidak dimakbulkan serta merta dan kadangkala ia akan mengambil masa yang lama untuk ditunaikan. Allah s.w.t tidak pernah menghampakan doa orang-orang yang beriman, dan untuk pengetahuan anda, Allah s.w.t tersangat suka menguji kesabaran umatnya. Saya suka katakan jika kita berdoa janganlah hanya semasa kita bersembahyang, kita boleh memohon doa dimana jua dan dalam apajua keadaan sekalipun. Misalnya kita kesempitan duit, mintalah kepadanya (Allah s.w.t) dengan menyatakan kita sedang dalam kesusahan nercaya kita akan dibantu.


MENGUMPAT-Jauhilah amalan mengumpat. Mengumpat boleh membawa kepada fitnah. Dan ia lebih berdosa dari lelaki yang memakai sutera atau emas. Dan nasihat saya supaya jangan suka mengumpat atau bercakap tentang hal orang lain dengan niat menjatuhkan air mukanya, kerana ia boleh menutup pintu rezeki dan anda akan susah untuk mendapat rezeki kerana gara-gara mulut anda yang suka mengumpat. Doa orang yang teraniaya lebih cepat termakbul jadi berhati-hatilah semasa anda mengumpat atau berkata tentang seseorang.


IKHLAS-Milikilah hati yang ikhlas dalam melakukan sebarang pekerjaan semoga Allah s.w.t. dapat membuka pintu rezeki kita dengan seluas-luasnya. Jika anda makan gaji dengan orang lain, anggaplah diri anda sedang bekerja kerana Allah s.w.t. semoga dengan perbuatan yang demikian dapat mengikhlaskan diri kita untuk bekerja dengan lebih tekun, jadi tiadalah lagi perbuatan seperti ponteng kerja, malas, tidur, bekerja sambil lewa dan sebagainya. Jangan terkejut jika wang gaji anda mengalir seperti air paip. Cuba lihat, apakah niat anda sebelum anda mulakan sesuatu kerja, oleh itu cubalah berniat sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Di sini saya sertakan doa untuk diamalkan “Ya Allah, sahaja aku keluar dari rumah untuk mencari rezeki yang halal semata-mata kerana mu”.

(Cara-cara diatas adalah dari pengalaman sendiri, sumber bacaan dan ceramah agama)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan