Jumaat, 16 Oktober 2009

TAZKIRAH-JALAN HIDAYAH

HIDAYAH- Penunjuk Jalan. Hidayah dianugerahkan kepada hamba-hamba yang dikehendaki Allah s.w.t. Hidayah juga merupakan hak mutlak Allah s.w.t. Surah Al-Qasas ayat 56 Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada sesiapa yang kamu kasihi, tetapi Allah s.w.t yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dia kehendaki. Dan Allah s.w.t. lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk. Jagalah hidayah supaya tidak hilang dengan mematuhi perintah dan larangan Allah s.w.t. serta mencari keredhaannya. Orang yang tidak dapat perhatian dari Allah s.w.t hidupnya sentiasa dalam keraguan, tegang, was-was, gelisah, kabur, tidak pasti, bimbang, rungsing, cemas, takut tidak ada wang, takut mati dan takut jatuh sakit. Walaupun ada harta yang banyak tetapi jika tiada petunjuk mereka semakin sengsara dan merana. Hidayah membawa kepada ketenangan, bahagia, harmoni, damai dan tidak gusar sekalipun harga barang naik, harga petrol naik, dibuang kerja. Bukan terpekik-pekik, mencanang-canang harga barang naik harga petrol naik. Apabila ada hidayah segala kesusahan dan kesukaran didunia dianggap enting bagi mereka. Tiada apa yang susah jika Allah sentiasa bersama kita sehingga ke akhir hayat. Memohonlah pada Allah supaya hati kita tidak dibengkokkan dari jalan yang lurus dengan doa ini.
“Yaa Muqallibal qulub, tsabit qulubana 'ala diinik” maksudnya 'Wahai (Allah) yang membolak-balikkan hati, maka teguhkan hati kami keatas agamamu'. Amin. Amalkan doa ini setiap kali solat sesungguhnya kita bukan umatnya yang dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t.

Nota:Adakah anda tahu bahawa hidayah sebenarnya boleh datang dan pergi walaupun sesaat. Jadi jagalah hidayah Allah s.w.t. takut-takut ia hilang dari kita.

Rabu, 14 Oktober 2009

INFO-PINJAMAN PERUMAHAN ANDA

Bagi sesiapa yang ingin membuat pinjaman perumahan saya ada beberapa perkara yang ingin dikongsi bersama anda. Mula-mula sekali anda kena pastikan samada anda layak atau tidak mendapat diskaun 5% untuk bumiputera dari pemaju perumahan sebelum anda menandatangani perjanjian jual beli rumah. Selepas itu anda boleh membuat pinjaman bank pilihan anda melalui firma peguam yang anda pilih sendiri atau pilihan pemaju perumahan.

Terdapat banyak bank yang menawarkan pinjaman perumahan yang berasaskan Perbankan Islam. Anda kena pastikan syarat-syarat wajib yang dikehendaki oleh setiap bank yang menawarkan pinjaman perumahan ini. Bank yang mesra kakitangan kerajaan ialah Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional. Manakala Bank yang mesra kakitangan swasta ialah Bank Islam, Bank Muamalat, Maybank Berhad, Public Islamic Bank, CIMB Islamic Bank. Apa yang anda perlu tahu di sini ialah kadar BLR, CPR dan Bank Sale Price. Anda boleh membuat perbandingan kadar BLR, CPR dan Bank Sale Price di setiap bank pilihan anda untuk melihat perbezaan kadar dan faedah yang ditawarkan oleh bank-bank yang telah anda pilih. Kerana setiap bank terdapat perbezaan dan anda boleh membuat pilihan yang bijak bagi membayar balik pinjaman perumahan anda. Ada juga bank yang boleh memberi pinjaman sehingga 95%. Ikutlah bujet anda yang termampu anda bayar.

Tip-tip bagi mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman perumahan anda, semasa anda menandatangani perjanjian perumahan telitilah perkara berikut, pertama:- adalah lebih baik anda mengambil pakej yang bukan percuma maksud saya 'with FMC' atau 'free legal documentation package' kerana ia akan menambah beban kepada pinjaman bayar balik anda. Oleh itu jangan ingat semua percuma adalah bagus. Kedua:-jika rumah anda telah siap (completed house) ambil kaedah bayaran sekaligus selama 20 tahun atau 30 tahun. Jangan ambil kaedah bayaran yang ada tahun pertama, kedua dan ketiga. Ketiga:- jangan sesekali memasukkan sekali insuran nyawa anda di dalam surat terima (Acceptance Letter) anda, asingkan insuran nyawa dengan pinjaman perumahan. Adalah lebih baik anda membeli sendiri insuran nyawa anda dengan bayaran tunai. Untuk polisi kebakaran (fire insurance) ikutlah bank kerana ada bank yang menetapkan polisi wajib dibuat dengan takaful yang bekerjasama dengan bank itu sendiri. Ada setengah bank tidak ada masalah. Didalam buku Azizi Ali yang bertajuk Langsaikan PINJAMAN PERUMAHAN anda dalam tempoh 5 tahun @ kurang ada tercatat cara untuk mempercepatkan bayaran balik pinjaman perumahan anda, mungkin anda boleh mengikut panduan yang beliau berikan.

Awas!!! Ada juga pegawai bank yang ingin mendapat komisen dari anda dengan menetapkan panel guaman untuk anda dan memasukkan insuran bersama dengan jumlah pinjaman perumahan. Anda sebenarnya boleh memilih sendiri panel guaman yang anda suka dan memilih mana-mana insuran takaful untuk dibayar tunai. Berhati-hatilah semasa membuat urusan pinjaman perumahan anda supaya anda tidak dibebankan dengan bayar balik pinjaman yang tidak sepatutnya. Dapatkan lebih banyak maklumat mengenai pinjaman anda supaya anda boleh melihat perbezaan dan membuat pilihan yang terbaik untuk kredit anda..

Untuk pengetahuan anda semua, kerajaan telah mengurangkan cukai duti setem 50% untuk pembeli rumah pertama kali DAN juga mengurangkan duti setem keatas pinjaman perumahan yang pertama kali mulai 30 Ogos 2008 – 31 Disember 2010. Dan diingatkan harga rumah tersebut tidak lebih dari RM250,000.00 bagi pembelian satu unit harta kediaman sahaja. Tunggu apa lagi cepat-cepatlah membeli rumah idaman anda sekarang.
(ini adalah coretan dari pengalaman sendiri)